Persaraan Ibrahim Ismail

Sepanjang menjadi panglima tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, beliau banyak mengaturkan kerjasama dengan negara-negara jiran bagi membanteras ancaman komunis rentas sempadan. Dan tidak kurang dari tiga kali juga beliau menjadi sasaran serangan pihak komunis disebabkan keberkesanan strategi beliau. Pada 30 November 1977, Tun Ibrahim menamatkan perkhidmatan beliau setelah 36 tahun di dalam tentera. Beliau telah berkhidmat selama 7 tahun sebagai Panglima Angkatan Tentera, tempoh yang paling lama dipegang oleh mana-mana pegawai tinggi ATM. Beliau telah menulis dua buah buku yang menghimpunkan pengalaman-pengalaman beliau. Buku pertama, Sudahkah Kamu Bertemu Mariam diterbitkan pada tahun 1984 menceritakan pengalaman beliau ketika Perang Dunia Kedua. Buku kedua beliau, Ibrahim, Pahlawan Melayu pula mengandungi seluruh kisah kerjaya beliau ketika era menjelang Kemerdekaan hinggalah beliau bersara.

Pada 2000 beliau dikurniakan darjah Seri Setia Mahkota, yang membawa gelaran "Tun."[2] Perkahwinan beliau dengan Toh Puan Zakiah binti Ahmad dikurniakan empat orang anak, dua perempuan dan dua lelaki.

Tun Ibrahim meninggal dunia di Hospital Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur pada 23 Disember 2010. Beliau dimakamkan di Makam Pahlawan berhampiran Masjid Negara, Kuala Lumpur. Beliau adalah kakitangan tentera pertama dimakamkan di sana.

Berkaitan